KUANTAN – Tular sebuah klip video di media sosial memaparkan pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di sebuah pasar raya di sini malam tadi.
Dalam video itu, seorang lelaki menjelaskan ia berpunca daripada seorang daripada pengunjung pasar raya memandang ke arah beberapa kanak-kanak lelaki yang bertindak membuka baju di khalayak ramai.
Berang dengan tindakan lelaki tersebut yang memandangnya, kanak-kanak terbabit bertindak agresif dan memarahi pengunjung tersebut.
Keadaan bertambah tegang apabila bapa kanak-kanak itu turut memarahi individu berkenaan dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka manakala pengunjung lain cuba menenangkan keadaan.
Perkongsian video terbabit di aplikasi Facebook dan TikTok Kuantan Social Club menuai ratusan perkongsian semula oleh warganet di mana rata-rata mereka menasihati kesemua yang terlibat agar bersabar dan menghormati bulan Ramadan yang mulia dengan tidak bergaduh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan kejadian tersebut.
“Tiada laporan polis dibuat. Kes melibatkan pertengkaran mulut sahaja akibat salah faham dan tiada mengakibatkan apa-apa kecederaan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini. – MalaysiaGazette