Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Permohonan lesen Penanggung Insurans dan Pengendali Takaful Digital (DITO) akan dibuka sehingga 31 Disember 2026.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, BNM akan mengumumkan permohonan yang berjaya semasa atau selepas tempoh permohonan, jika ada.

Menurutnya, permohonan lesen DITO itu menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak hanya tiga bulan sejak permulaan tempoh permohonan pada 2 Januari, 2025.

Usaha untuk merapatkan jurang perlindungan insurans masih tidak mencukupi, khususnya dalam kalangan segmen masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan dan tidak mendapat perkhidmatan kewangan.

Sebagai contoh, kurang separuh daripada rakyat Malaysia mempunyai perlindungan insurans hayat atau takaful keluarga.

Oleh itu, industri insurans dan takaful perlu melaksanakan inovasi untuk merapatkan jurang ini dan membantu pengguna untuk lebih bersedia menghadapi kejadian yang tidak dijangka.

Dengan penggunaan teknologi dan kemajuan digital dengan lebih berkesan, penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) mampu menangani cabaran dari segi penawaran dan permintaan, lantas menghasilkan tawaran produk yang lebih khusus dan pelbagai selain tawaran perkhidmatan insurans dan takaful tradisional.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, BNM berharap DITO dapat mengukuhkan lagi sistem kewangan dengan tawaran yang lebih inklusif, berdaya saing dan cekap, selaras dengan keperluan pengguna yang semakin berkembang.

Dengan mengambil kira prospek ini, DITO dijangka dapat menawarkan nilai yang bermakna dari segi rangkuman, persaingan dan kecekapan.

Pemohon perlu memahami dan menangani keperluan perlindungan segmen pengguna yang mesra digital dengan menawarkan produk dan perkhidmatan yang bersesuaian.

Pemohon perlu mempertingkatkan kecekapan keseluruhan operasi untuk memastikan pengalaman pelanggan yang lancar.

Bersama-sama dengan ITO sedia ada, DITO mampu mengukuhkan lagi sistem kewangan dengan menggalakkan inovasi yang bertanggungjawab untuk rakyat Malaysia serta menyokong matlamat yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026.

BNM menegaskan, semua pemohon yang berminat perlu melakukan perbincangan dengan BNM sebelum mengemukakan permohonan rasmi.

Oleh itu, pemohon yang berminat perlu mendapatkan sesi perbincangan dengan menghantar e-mel kepada [email protected].

Selain itu, pemohon yang berminat juga perlu memenuhi kriteria yang digariskan dalam Dokumen Dasar Rangka Kerja Pelesenan dan Pengawalseliaan DITO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here