PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengemukakan cadangan bagi memanfaatkan air hujan ketika kemarau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, cadangan tersebut perlu dikemukakan dalam tempoh dua minggu.
“Apa yang boleh kita lakukan sebab negara kita banyak hujan tapi pada masa sama berlaku kemarau.
“Perdana Menteri minta kita bagaimana kita nak simpan air supaya boleh digunakan untuk waktu kemarau dan untuk masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Ihya Ramadan PETRA yang disempurnakan Perdana Menteri.
Terdahulu, Fadillah berkata, arahan itu disampaikan Anwar dalam pertemuannya bersama pengurusan tertinggi PETRA sebelum program Ihya bermula.
Jelas beliau, kementerian tersebut telah menjalankan kajian berkaitan cara untuk memanfaatkan air hujan dan kini sedang mengumpul maklumat untuk tindakan selanjutnya.
“Kita akan kaji dan lihat apakah yang boleh kita laksanakan dari segi projeknya, dari segi tindakan yang perlu kita lakukan dan apa pun tindakan yang perlu dilakukan, kita memerlukan kerjasama di peringkat negeri,” katanya lagi.
Selain itu tambah beliau, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai keperluan untuk PETRA menangani isu yang dihadapi rakyat dan sektor perniagaan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Perdana Menteri mahu apa sahaja tarif yang kita tetapkan, tidak akan (menyusahkan rakyat), mengambil kira kedudukan rakyat kebanyakan dan juga PMKS,” katanya.- MalaysiaGazette