GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang terima 249 laporan berhubung kenyataan kontroversi pendakwah bebas, Zamri Vinoth yang didakwa menghina agama Hindu.
Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kesemua laporan itu diterima membabitkan empat daerah di negeri.
“Laporan paling banyak diterima di daerah Seberang Perai Utara iaitu sebanyak 227 laporan; diikuti Seberang Perai Selatan (10), Timur Laut (7) dan Seberang Perai Tengah (5).
“Kesemua laporan itu diterima sejak 4 Mac lalu hingga hari ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihak polis menjalankan siasatan terhadap Zamri Vinoth mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Pihak polis telah merakam keterangan Zamri Vinoth dan kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Selasa ini,” katanya. – MalaysiaGazette