GEORGE TOWN – Projek naik taraf dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kini berjalan lancar dengan kemajuan ketara seperti yang dirancang.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan & Digital, Zairil Khir Johari berkata, projek ini merangkumi tiga pakej kerja utama bagi meningkatkan infrastruktur dan kapasiti operasi lapangan terbang termasuk kerja-kerja persediaan, penambahbaikan kemudahan airside serta pembinaan bangunan terminal baharu.
“Pakej Kerja Pertama (WP1) telah dianugerahkan kepada Gagasan Maya Sdn. Bhd. pada September lalu dengan nilai kontrak Pakej bernilai RM107.9 juta telah mencapai 31 peratus kemajuan fizikal setakat 15 Februari lalu dan ia dijangka siap pada November ini.
“Pakej ini melibatkan kerja-kerja kritikal seperti Bangunan Sokongan, Menara Kawalan Trafik Udara (ATC), pejabat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Pos Kawalan AVSEC.
“Malah, LTAPP juga akan menjadi lapangan terbang pertama di Asia Tenggara yang menggunakan teknologi Remote Digital Virtual Tower (RDVT),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut Zairil berkata, bagi Pakej Kerja Kedua (WP2), pembinaan fizikal dijadualkan pada pertengahan April ini membabitkan projek bernilai RM254.6 juta.
“Ia dianugerahkan kepada Acre Works Sdn Bhd pada Disember lalu akan menumpukan kepada kerja-kerja menaik taraf apron lapangan terbang, laluan teksi pesawat, sistem saliran udara serta pemindahan utiliti.
“Manakala Pakej Kerja Ketiga (WP3) pula, tendernya dijangka dibuka pada April dan pakej ini merangkumi pembinaan terminal baharu serta pengubahsuaian terminal sedia ada, termasuk kerja-kerja infrastruktur tempatan, perkhidmatan bangunan dan hiasan dalaman,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Zairil memaklumkan terminal baharu dijangka beroperasi pada 2027 manakala keseluruhan projek disasarkan siap sepenuhnya pada 2028.
“Secara keseluruhan projek ini merupakan langkah penting bagi menampung peningkatan jumlah penumpang di LTAPP dan menambah baik kemudahan lapangan terbang.
“Malah, projek ini juga akan mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab penerbangan serantau dan menyokong pertumbuhan ekonomi serta rangkaian pengangkutan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette