Meenakshi.

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendakwa Rang Undang-Undang (RUU) Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 mengandungi pelbagai kelemahan sekali gus memberikan kesan jangka panjang kepada alam sekitar dan masyaratkat.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, kerajaan dilihat terlalu tergesa-gesa dalam meluluskan RUU itu tanpa perbincangan mendalam dengan semua pihak berkepentingan, termasuk masyarakat sivil dan pakar alam sekitar.

“Kita bimbang negara akan menjadi tempat pembuangan sisa karbon negara lain, sedangkan kesannya boleh bertahan beratus tahun dan membebankan generasi akan datang.

“Jadi kita mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan RUU CCUS 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 6 Mac lalu,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Meenakshi turut mempersoalkan keputusan kerajaan untuk mendahulukan RUU CCUS sebelum menggubal Akta Perubahan Iklim, yang sepatutnya menjadi keutamaan dalam menangani isu pelepasan karbon.

Jelasnya, pemilihan Global CCS Institute sebagai perunding bagi kajian rangka kerja undang-undang CCUS negara, kerana institut itu mempunyai hubungan rapat dengan syarikat minyak dan gas yang mempunyai kepentingan dalam meneruskan industri bahan api fosil.

“Kita tidak boleh menyerahkan soal keselamatan dan kelestarian alam sekitar kepada pihak yang ada kepentingan sendiri dalam industri ini.

“Justeru kita menuntut supaya projek CCUS diwajibkan menjalani Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) secara telus dan dibuka kepada maklum balas awam bagi mengelakkan kejadian seperti projek Kasawari di Sarawak yang diluluskan tanpa rundingan terbuka.

“Suka juga diingatkan bahawa kerajaan perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan bukan tekanan syarikat besar dalam membuat keputusan berhubung dasar alam sekitar negara,” katanya.

Khamis lepas, Dewan Rakyat secara sebulat suara meluluskan RUU CCUS 2025 untuk memberi peluang kepada pengembangan pelaburan dan ekonomi negara.

RUU itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dan ketika menggulungkan RUU berkenaan, Rafizi turut menegaskan kerajaan tidak akan mengeluarkan perbelanjaan untuk fasiliti CCUS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here