Kumar menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas dalam beberapa serbuan melibatkan rampasan RM7 juta, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan dua sindiket yang mencampurkan beberapa jenis dadah dalam satu peket minuman selepas menahan tujuh ahlinya termasuk seorang remaja.

Kesemuanya dalam dua serbuan melibatkan rampasan lebih RM7 juta di daerah ini pada 4 Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kedua-dua sindiket mencampurkan dadah antaranya ketamin dan syabu dalam bentuk serbuk sebelum dimasukkan dalam peket minuman segera dan jus buah-buahan.

“Dalam satu paket ini mengandungi pelbagai dadah, harga antara RM200, RM230 atau RM300 satu paket bergantung kepada saiz. Kalau kita tengok dalam tahun ini rampasan dadah banyak dalam bentuk ini.

“Kami percaya hasil siasatan dan risikan mendapati memang permintaan sekarang adalah bentuk peket-peket ini. Ini memudahkan sindiket bergerak tanpa disedari masyarakat atau penguat kuasa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kejayaan membongkar kegiatan itu adalah menerusi serbuan pertama dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada pukul 7.20 pagi hingga 6 petang 4 Mac lalu.

“Serbuan dilakukan di kawasan parkir sebelum serbuan susulan dilakukan sebuah apartment. Dalam serbuan tersebut dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam berusia lingkungan 25 hingga 29 tahun ditangkap bersama-sama sejumlah dadah.

“Hasil saringan urin mendapati dua suspek positif dadah jenis benzodiazepines manakala semakan rekod mendapati seorang suspek mempunyai rekod berkaitan dadah,” katanya.

Menerusi operasi tersebut pihak polis merampas 9,285 gram(g) serbuk ektasi bernilai RM1,550,595; 74g ketamin (RM14,800); 24g pil erimin 5 (RM1,800); 11.20g pil ekstasi (RM1,300) dan 18.00 milliliter cecair ekstasi (RM1,500).

Selain itu polis menyita dua kereta dengan (RM55,000), wang tunai RM15,450 dan pelbagai jenis barang kemas RM25,040 manakala nilai rampasan dan sitaan berjumlah RM1,665,485.

“Dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan seramai 31,436 penagih. Dadah ini dipercayai untuk pasaran tempatan dan sudah beroperasi sejak Januari lalu.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan apartmen berpengawal dan berpagar sebagai tempat penyimpanan dadah untuk diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.

Kumar memberitahu, serbuan kedua yang tidak mempunyai kaitan dengan sindiket pertama dilakukan JSJN IPK di empat apartment pada pukul 4.30 petang, 4 Mac hingga 2.30 pagi, 5 Mac lalu.

Dalam serbuan itu tiga lelaki dan seorang wanita tempatan lingkungan 17 hingga 42 tahun ditangkap bersama-sama sejumlah dadah.

Menurutnya, tangkapan itu melibatkan dalang sindiket terbabit dan remaja berkenaan sudah tidak bersekolah, hasil saringan urin pula mendapati seorang suspek positif dadah methamphetamine sementara dua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Kumar berkata, pihaknya merampas 32,211g serbuk ekstasi (RM5,379,237); 13,50g syabu (1,485) dan 2.20g pil erimin 5 (RM5,380,882) selain turut merampas sebuah kereta Perodua Viva yang dilaporkan hilang di Cheras; sebuah motosikal (RM3,500) dan wang tunai RM159.

Nilai rampasan dadah dan sitaan dalam serbuan  berjumlah RM5,384,541 dan dadah berkenaan boleh digunakan seramai 107,445 penagih.

“Semua suspek bagi kedua-dua kes tersebut direman sehingga 12 Mac ini untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here