JASIN – Kecewa dengan isu berulang juadah di bazar Ramadan yang basi atau berulat, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka mahu pembeli yang teraniaya untuk segera menghubungi beliau bagi tindakan lanjut.
Datuk Ngwe Hee Sem berkata, peringatan demi peringatan sudah sering diberikan kepada peniaga supaya sentiasa menjaga kualiti makanan yang dijual kepada pelanggan.
“Dari awal lagi dah banyak kali kita ingatkan peniaga bazar Ramadan ini utamakanlah kebersihan dan kualiti makanan bukannya hanya memikirkan keuntungan sahaja.
“Saya sudah arahkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) untuk menyiasat dakwaan kes nasi kerabu berulat ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Beliau yang kini berada di luar negara berkata demikian bagi mengulas tular kejadian seorang pelanggan membeli nasi kerabu yang sudah berulat dipercayai berlaku Bazar Ramadan Jasin Bestari, Jasin, semalam.
ARTIKEL BERKAITAN

Melalui perkongsian di FB Geng Bandar Jasin Bestari, individu yang enggan dikenali itu turut memuat naik video berdurasi lapan saat membuktikan dakwaannya itu bertarikh semalam, Ahad, 9 Mac.
Mengulas lanjut, Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berharap pelanggan yang berdepan kejadian sama di mana-mana bazar Ramadan atau premis makanan boleh terus menghubunginya.
“Boleh terus whatsapp saya sendiri di nombor 019-6818833 walaupun JKNM sentiasa aktif melakukan rondaan di bazar Ramadan bagi mengelak berlakunya kes sebegini.
“Namun bazar terlalu banyak jadi agak sukar untuk kita pastikan semua bazar diperiksa sepenuhnya sebab itu kita perlukan penglibatan orang ramai menyalurkan maklumat,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette