KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kejuruteraan Jutakaya Sdn. Bhd. (KJKSB) menandatangani Perjanjian Penyelidikan (RA) sebagai langkah
strategik dalam pembangunan teknologi pencegah kebakaran bateri lithium ion.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly bersama
Pengarah Urusan KJKSB, Raychell Martin.
Menurut Rosalam, perjanjian tersebut melibatkan geran padanan bernilai RM100,000 bertujuan membangunkan protokol dan teknologi inovatif untuk meningkat
keselamatan bateri lithium ion yang digunakan secara meluas dalam kenderaan elektrik (EV).
“Kajian awal menunjukkan bahan pemadam api yang sedang dibangunkan berjaya memadam kebakaran bateri lithium ion dengan berkesan, dan ujian lanjut sedang
dijalankan untuk menguji keupayaannya terhadap bateri pelbagai kapasiti tenaga.
“Perjanjian ini mencerminkan komitmen UMS dalam menerajui penyelidikan inovatif yang berpotensi memberi impak besar kepada industri dan masyarakat, sejajar dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam teknologi hijau dan keselamatan tenaga masa hadapan,” katanya.
Kerjasama penyelidikan itu diketuai oleh pensyarah Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS, Profesor Madya. ChM. Ts. Dr. Zuhair Jamain dengan sokongan
pensyarah Fakulti Kejuruteraan UMS, Profesor Dr. Jidon @ Adrian Janaun.- MalaysiaGazette