KULAI – Seorang wanita maut manakala suami dan dua anak mereka termasuk bayi berusia empat bulan cedera dalam nahas dua kereta di Kilometer 39.9 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) di sini petang semalam.
Anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima maklumat kejadian membabitkan kereta Produa Myvi dan Proton Persona pasa pukul 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dipandu lelaki tempatan berusia 30 tahun bersama-sama isteri berusia 29 tahun dan dua anak berumur empat tahun dan empat bulan hilang kawalan ketika berada di lorong kiri.
“Kenderaan tersebut kemudian melanggar sebuah Proton Persona yang dipandu lelaki tempatan berumur 32 tahun yang berada di lorong kanan.
“Pelanggaran menyebabkan Perodua Myvi terbalik dan terbabas ke lorong kecemasan.Kemalangan itu menyebabkan penumpang Produa Myvi wanita berumur 29 tahun meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Seng Lee, pemandu dan dua anaknya dibawa ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim untuk rawatan.
Kes itu ujarnya, disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penguasa Bomba Kanan Azmiza Zaini berkata, 11 anggota dibantu BBP Renggam dengan dua buah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Seorang mangsa tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi. Pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkan mayat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.- MalaysiaGazette