JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan satu sindiket yang menjadikan kedai runcit di Taman Universiti, Skudai di sini sebagai stor penyimpanan dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kegiatan itu terbongkar selepas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Daerah Johor Bahru Utara melakukan serbuan pukul 7 malam pada 5 Mac lalu.
“Dalam serbuan itu, kita berjaya menangkap tiga lelaki warga tempatan berusia antara 22 hingga 29 tahun termasuk dalangnya. Suspek berusia 29 tahun merupakan pemilik kedai runcit yang mempunyai satu rekod jenayah.
“Suspek berusia 22 tahun pula mempunyai tiga rekod jenayah dan satu rekod dadah.
Ketiga-tiga suspek negatif dari sebarang jenis dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas lebih satu kilogram (kg) syabu, 1.84 kg ecstacy dan 1 kg ganja selain lapan kenderaan dan wang tunai RM1,000 turut disita.
Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan premis itu untuk mengumpul dan mengedar pelbagai jenis dadah dan aktif secara kecil-kecilan sejak Januari lalu.
Balveer berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti bekalan dadah yang diperoleh dan penglibatan suspek lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ketiga-tiga suspek disambung reman tujuh hari bermula hari ini selepas tempoh tahanan reman selama lima hari tamat semalam.- MalaysiaGazette