TAWAU – Tertuduh kesembilan dalam kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, atau dikenali sebagai Ijat, hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, bahawa dia telah dihasut untuk memukul mangsa.
Saksi pembelaan ketiga itu berkata, individu yang menghasutnya adalah seorang pelajar di kolej sama iaitu saksi pendakwaan ke-19.
“Dia tarik saya, dia cakap dia mahu nampak saya memukul, lepas itu dia tolak saya untuk memukul arwah Ijat, waktu itu arwah Ijat melindungi mukanya, saya teragak-agak untuk pukul.
“Saya ketika itu pukul bahagian lengan kanan arwah Ijat sebanyak dua kali sahaja, pukulan saya itu tidak kuat,” katanya ketika membacakan keterangan saksi di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Seramai 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Ketika menjawab soalan peguam Datuk Ram Singh, saksi itu memaklumkan dia sebenarnya tidak mahu memukul Mohamad Nazmie Aizzat namun telah dihasut untuk berbuat demikian.
Remaja itu tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Juhn Tao bahawa dia telah memukul mangsa kerana dia sememangnya mahu memukul, bukan sebab dihasut oleh saksi pendakwaan ke-19.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, dan Chen Wen Jye manakala lima lagi diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang serta Kusni Ambotuwo.
Ng pula dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif dan Batrisyia Mohd Khusri. – Bernama