KUALA LUMPUR – Malaysia bersetuju menganjurkan Cyber Games dan persidangan peringkat ASEAN berhubung jenayah siber dengan kerjasama Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA); Polis Antarabangsa (Interpol) dan Council of Europe pada Mei depan.
Perkara itu antara yang dicapai dalam Mesyuarat Keselamatan Siber Negara Bilangan 1/2025 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, dalam mesyuarat sama, Perdana Menteri turut dimaklumkan berkenaan situasi semasa keselamatan siber negara yang mana secara umumnya terdapat trend penurunan insiden keselamatan siber dari tahun 2023 hingga 2024.
Selain itu, katanya, mesyuarat itu turut memaklumkan kepada Perdana Menteri berkenaan status pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) yang mana pelaksanaannya akan terus diperkukuhkan melalui tambahan pelantikan Ketua Sektor Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) dan pakar keselamatan siber.
“Perdana Menteri sekali lagi menegaskan tentang kepentingan keselamatan siber yang menjadi keutamaan negara.
“Dinamika ancaman siber adalah tinggi sejajar kebergantungan pelbagai aspek kehidupan memerlukan ekosistem dan prasarana keselamatan siber yang menyeluruh.
“Kerajaan, pihak swasta dan rakyat mempunyai peranan masing-masing untuk memastikan Malaysia berdaya tahan mendepani cabaran keselamatan siber,” katanya dalam sidang akhbar harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.
Sementara itu, tambah Tunku Nashrul, kerajaan mempunyai keyakinan tinggi terhadap kepakaran dalam negara dalam berhadapan cabaran keselamatan siber.
Katanya, keupayaan agensi berkaitan dengan kerjasama pelbagai institusi pendidikan serta industri tempatan mampu memastikan Malaysia sentiasa bersedia dan berupaya menghadapi ancaman siber semasa dan akan datang.
“Justeru, kerajaan menyeru pihak tempatan yang mempunyai kepakaran dalam keselamatan siber bekerjasama dengan kerajaan agar ekosistem keselamatan siber dapat dipertingkatkan dengan lebih menyeluruh menggunakan kepakaran anak tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette