JOHOR BAHRU – Seorang penuntut sebuah universiti swasta di Pasir Gudang meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya kemalangan di Kilometer 9, Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Perling di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu berlaku pukul 3.25 petang semasa mangsa dalam perjalanan dari universitinya ke Iskandar Puteri.
“Sewaktu kejadian cuaca hujan dan permukaan jalan basah. Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa telah memotong di sebelah kanan sebuah lori yang dipandu lelaki warga tempatan berumur 36 tahun.
“Ketika memotong mangsa dipercayai hilang kawalan dan terjatuh di bawah lori yang sedang bergerak di lorong kiri.
“Keadaan ini menyebabkan bahagian kepala mangsa digilis tayar sebelah kanan belakang lori tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Raub, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu lori berkenaan pula katanya, tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette