SHAH ALAM – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyasarkan untuk memperkasa 1.4 juta wanita melalui Jelajah Wanita MyWira di Selangor menerusi peluang dan insentif pekerjaan.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah itu bertujuan untuk merapatkan jurang gender dalam sektor pekerjaan melalui Wanita MyWira termasuk Program Kembali Bekerja (CCP).
“Kita mesti memastikan wanita mempunyai peluang yang sama untuk kembali dan berjaya dalam tenaga kerja di negara ini.
“Tahun ini kita akan meluaskan lagi capaian kita, kita mulakan di Selangor dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor.
“Kita sasar mencapai lebih kurang 1.4 juta wanita yang berusia antara 20 hingga 44 tahun,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Terdahulu Steven Sim merasmikan Konvensyen Wanita MyWira 2025 serta menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Wanita Berdaya Selangor (WBS).
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari.
Steven berkata, Jelajah Wanita MyWira bertujuan untuk menguar-uarkan tentang inisiatif baharu yang bakal dinikmati syarikat-syarikat yang mengambil wanita kembali ke dunia pekerjaan.
“Kita mahu mereka tahu bukan sahaja ada insentif lama potongan cukai, tapi ada insentif baharu di mana mulai tahun ini, syarikat-syarikat yang mengambil wanita kembali ke alam pekerjaan, mereka juga akan menerima potongan cukai.
“Selain itu, kita nak mempromosikan inisiatif kerajaan yang lain termasuk waktu kerja anjal di mana syarikat juga mendapat potongan cukai seperti mana termaktub dalam Belanjawan 2025.
“Manfaat lebih besar dinikmati golongan wanita yang terpaksa jaga anak dan menguruskan rumah tangga,” katanya.

Menurutnya, selepas Selangor, Kesuma akan melaksanakan program Jelajah Wanita MyWira ke negeri-negeri lain.
“Buat permulaan, platform asas sesi libat urus, pembangunan kemahiran, dan sokongan penyertaan tenaga kerja untuk wanita di semua peringkat akan bermula di Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette