MELAKA – Ujian hidup dihadapi seorang pesakit kanser usus dan hati sehingga hilang pekerjaan sejak empat bulan lalu mendapat perhatian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk tampil membantu meringankan beban.
Pengerusi Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM), Ashwad Abd Rahim berkata, mereka terpanggil untuk membantu Mohamad Nasirudin Md Zen, 39, selepas melihat penderitaan dialami bapa seorang anak itu baru-baru ini.
“Saya tersentuh apabila kisah hidupnya dilaporkan media baru-baru ini yang secara tiba-tiba disahkan mengidap kanser tahap empat sejak April tahun lalu walaupun dia aktif bersukan sebelum ini.
“Inilah takdir Allah dan kami menyantuninya hari ini untuk memberi sokongan moral selain sedikit bantuan makanan dan wang tunai untuk meringankan beban dihadapi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, ahli perniagaan itu meluangkan masa hampir sejam bertanya khabar Mohamad Nasirudin yang mesra disapa Pok Den di rumah keluarganya di Kampung Jambatan Duyong.
Sementara itu, Pok Den berkata dia terharu dengan keprihatinan ditunjukkan rakyat Malaysia yang bukan sahaja mendoakan kesihatannya malah membantu dari segi keperluan kewangan.
“Bantuan ini dapatlah membantu saya menampung kos harian ibu, isteri dan persekolahan anak lelaki yang masih kecil selain daripada menjual koleksi barangan antik kesayangan saya sejak sekian lama.
“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan saya dan membantu dari sudut kewangan termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem,” katanya sebak.
Tambahnya, dia tidak terfikir mengenai persiapan sambutan Aidilfitri kerana mahu berjimat cermat selepas kira-kira empat bulan tidak bekerja sejak November tahun lalu.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Pok Den merayu orang ramai mendoakan kesihatannya yang menderita kanser usus dan hati tahap empat agar sempat meraikan Aidilfitri tahun ini.
Bekas pekerja penghantar sampel darah itu berkata, Ramadan kali ini adalah yang pertama disambut sebagai pesakit kanser bersama isteri, Norhayati Hassan, 42, dan anak, Mohamad Akil Naufal berusia tujuh tahun.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh dibuat melalui akaun Affin Bank 200328038486 atas nama Mohamad Nasirudin Md Zen. – MalaysiaGazette