JOHOR BAHRU – Seorang lelaki dan seorang wanita warganegara Vietnam diidakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi pertuduhan mengedar dadah dengan berat kasar lebih sembilan kilogram (kg), awal bulan ini.
Tertuduh, Lee Chen Khang, 29, dan Nguyen Thi My Tien, 24, menggangguk faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Chen Khang dan Nguyen didapati mengedar dadah berbahaya jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat kasar 9.2kg.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah apartment di Taman Johor Jaya, di sini pada pukul 7.10 malam, 4 Mac lalu.
Oleh itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2)(a) Akta yang sama dan dibaca bersama bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali, jika sabit kesalahan.
Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan tarikh 20 Mei depan sebagai sebutan semula kes dan menunggu laporan kimia.
Dalam mahkamah berasingan, di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin,
Chen Khang dan Nguyen mengaku tidak bersalah atas pertuduhan secara bersama-sama didakwa memiliki dadah berbahaya jenis ketamin dengan berat kasar 74 gram.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi dan masa yang sama seperti pertuduhan pertama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Tertuduh boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Nevina.- MalaysiaGazette