PUTRAJAYA – Dalam situasi yang jarang berlaku, Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil menyediakan grafik bagi menerangkan mengapa jumlah kompaun dan denda berbeza melibatkan kes yang menjadi tumpuan rakyat pada ketika ini.
Beliau menerangkan, tindakan berbeza diambil terhadap kes Maestra Broadcast Sdn Bhd (Maestra), Harith Iskander dan Cecelia Yap serta kedai serbaneka KK Mart.
“Ini adalah rangkuman yang paling mudah dan saya harap dia sangat jelas bila kita bina grafik ini yang mana kita boleh lihat persamaan dan perbezaan ketiga-tiga kes,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Bagi kes KK Mart, Fahmi berkata, siasatan telah dilakukan di bawah Kanun Keseksaan dan denda sebanyak RM60,000 telah dikenakan melalui keputusan mahkamah.
Manakala bagi kes Harith Iskander dan Cecelia Yap yang didakwa menghina Islam telah mengguna pakai Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia (AKM).
“Mereka adalah individu dan bukan syarikat maka pendakwa raya telah bersetuju mengenakan kompaun sebanyak RM10,000. Kes ini tidak dibawa ke mahkamah dan diizinkan oleh timbalan pendakwa raya untuk mengenakan kompaun.
“Sukacita saya maklumkan kesalahan ini telah berlaku sebelum pindaan AKM berkuatkuasa pada 11 Februari yang mana kesalahan itu sebelum tarikh itu kesalahan boleh dikenakan di mahkamah sehingga RM50,000 dan selepas itu didenda telah dinaikkan RM500,000,” katanya.
Dalam kes Maestra Broadcast, pendakwa raya, katanya, telah mengizinkan kompaun maksimum dikenakan iaitu sebanyak RM250,000 di bawah Seksyen 233 AKM.
“Ini kena tanya kepada timbalan pendakwa raya bukan MCMC yang putuskan. Kita hanya boleh mengeluarkan kompaun sama ada dipersetujui oleh pihak Jabatan Peguam Negara atau pun tidak itu tertakluk.
“Tapi saya pasti, percaya Pejabat Peguam Negara khususnya timbalan pendakwa raya menitikberatkan beberapa aspek antara lain kesan daripada kesalahan yang telah dilakukan dan sama ada dia bersifat pengajaran dan sebagainya tapi untuk maklumat terperinci hubung
“Perkiraan dalam kes Maestra Broadcast adalah khusus berkait syarikat yang sejujurnya berkemampuan malah dalam beberapa perkara bila MCMC mengenakan denda atau tindakan ke atas pemegang lesen nilai yang dikenakan itu kebiasaannya lebih tinggi,” jelas beliau.
Beliau berkata, semua pihak perlu faham istilah denda dan kompaun di mana denda dikenakan setelah disabit kesalahan di mahkamah manakala kompaun tidak perlu pergi ke mahkamah.-MalaysiaGazette