PARIT BUNTAR – Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Parit Buntar pada Rabu atas pertuduhan memandu kereta di bawah pengaruh dadah sehingga mengakibatkan kemalangan maut pasangan suami isteri di Kuala Kurau, minggu lalu.
Tertuduh, Ng Ju Han, 20, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu telah memandu kereta jenis Honda City di bawah pengaruh dadah yang menyebabkan tidak berdaya mengawalnya, sehingga mengakibatkan kematian terhadap Baharudin Ahmad, 59, dan Wan Sanih Wan Ismail, 66.
Kesalahan itu dilakukan di jalan arah Kuala Kurau menghala ke Tanjung Piandang dalam Daerah Kerian, pada jam 7.50 pagi, 5 Mac 2025.
Pertuduhan itu dibacakan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang mana jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara antara 10 tahun sehingga 15 tahun serta denda antara RM50,000 sehingga RM100,000.
Jika sabitan kali kedua, tertuduh boleh dikenakan penjara antara 15 tahun sehingga 20 tahun, denda RM100,000 sehingga RM150,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir sementara tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Ruhan ‘Imran Abdul Halim.
Ketika prosiding, Amirah Nabihan mencadangkan agar mahkamah mengenakan wang jaminan sebanyak 15,000 kepada tertuduh.
Muhammad Ruhan ‘Imran bagaimanapun memohon agar wang jaminan minimum dikenakan kepada anak guamnya kerana dia yang masih bujang perlu menanggung ibu bapa dengan pendapatan sebanyak RM2,200 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin dalam kalangan ahli keluarga, selain menetapkan 18 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam serta serahan dokumen.
Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, sepasang suami isteri maut manakala anak angkat mereka cedera dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Pantai, Batu 9 di Batu Piandang, Kuala Kurau, 5 Mac lalu.
Dalam kejadian itu, kereta Perodua Kelisa dipandu Baharudin telah bertembung dengan kereta Honda City sehingga mengakibatkan pesara polis itu dan isterinya mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette