KLANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) merampas 2,606 kilogram (kg) Gas Petroleum Cecair (LPG) dan 6,910 kg minyak masak peket bersubsidi bernilai RM53,000 di sebuah premis di Rantau Panjang, di sini, 10 Mac lalu.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, aktiviti penyelewengan barang kawalan subsidi itu tumpas dalam serbuan sepasukan penguat kuasa pihaknya kira-kira jam 4 petang, hasil risikan selama sebulan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, premis ini telah dijadikan stor haram untuk menjalankan aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi.
“Sindiket memotong bungkusan minyak masak peket bersubsidi 1kg sebelum dipindahkan ke dalam lori tangki dipercayai untuk dijual semula kepada pihak industri,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Zulhairi, pihaknya juga menemukan aktiviti “decanting” iaitu aktiviti pemindahan LPG bersubsidi yang digunakan untuk isi rumah ke dalam tong LPG berkapasiti 50kg bagi kegunaan industri.
“Peralatan seperti hos penyambung ditemui dipercayai digunakan dalam aktiviti decanting dari tong 14kg bersubsidi kepada tong LPG 50kg (kegunaan industri),” katanya.
Selain itu, katanya, pihaknya juga menemui lambakan kotak yang mengandungi minyak masak jenis peket dan peket plastik yang telah dipotong.
“Kesemua minyak masak sebanyak 6,910kg bernilai RM18,000 dan beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan ini termasuk empat buah lori telah disita untuk tujuan siasatan lanjut.
“Manakala sebanyak 341 tong LPG telah disita seberat 2,606kg pula bernilai RM35,000, manakala nilai rampasan keseluruhan dianggarkan mencecah RM200,000,” katanya.

Dalam serbuan sama, KPDN juga menahan lima lelaki warga tempatan dan 10 warganegara asing berumur 30-an yang merupakan pekerja di premis terbabit untuk membantu siasatan.
“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, individu terbabit boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau denda tidak lebih RM3 juta.
“Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, individu terbabit boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
“Syarikat terbabit pula boleh didenda tidak lebih RM2 juta, bagi kesalahan kedua dan berikutnya pula denda tidak lebih RM5 juta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette