KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengeluarkan jawapan kepada empat soalan lazim berkitan isu menyentuh kes agama, raja dan kaum (3R) baru ini ini.
Jawapan menyentuh perbezaan tindakan dan hukuman terhadap Maestra Broadcast Sdn Bhd, tiga penyampai radio Era serta dua individu iaitu Harith Iskander dan Cecelia Yap.
1. Apakah pertimbangan diambil oleh Suruhanjaya berhubung tindakan yang dikenakan ke atas Maestra Broadcast Sdn Bhd?
Satu kertas siasatan telah dibuka oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berdasarkan aduan yang diterima di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap satu kandungan video yang didakwa menghina agama Hindu.
Hasil siasatan mendapati kandungan video tersebut telah dimuat naik di platform rasmi Tik Tok “era.je” yang dioperasikan oleh Maestra Broadcast Sdn Bhd. Dalam perihal ini, Jabatan Peguam Negara telah memutuskan agar syarikat tersebut dikenakan kompaun.
2.Apakah pertimbangan Suruhanjaya dalam penetapan amaun kompaun terhadap Maestra Broadcast Sdn Bhd?
Selepas insiden tersebut, pihak pengurusan tertinggi Maestra Broadcast Sdn Bhd telah dipanggil oleh MCMC untuk memberikan penjelasan.
Pihak Maestra Broadcast Sdn Bhd juga telah dinasihatkan untuk memastikan kawalan kandungan yang ketat, pematuhan kepada garis panduan kandungan, dan latihan berterusan kepada kakitangan untuk mengelakkan pelanggaran undang-undang.
Setelah mengambil kira bahawa kandungan tersebut melibatkan isu kepentingan awam yang telah mewujudkan ketidaktenteraman antara kaum dan agama, kompaun sebanyak RM250,000 telah ditetapkan terhadap syarikat berkenaan.
Untuk makluman, di bawah pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, hukuman denda maksimum adalah RM500,000 dan penjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
3. Apakah pertimbangan Suruhanjaya berhubung penggantungan lesen?
Berhubung isu notis penggantungan lesen, setelah mempertimbangkan pelbagai faktor serta penghujahan bertulis yang dikemukakan oleh Maestra Broadcast Sdn Bhd, lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd tidak digantung kerana terdapat tindakan pembetulan segera yang telah dilakukan oleh pemegang lesen seperti permohonan maaf rasmi secara terbuka, dan kesan kepada stesen radio lain di bawah lesen yang sama, iaitu Melody FM dan Mix FM.
4.Mengapa terdapat perbezaan kompaun dalam kes Maestra Broadcast Sdn Bhd dan Harith Iskander/ Cecelia Yap?
Bagi kes yang melibatkan Harith Iskander dan Cecelia Yap yang telah memuat naik kandungan dan komen jelik melibatkan agama Islam di Facebook pada 18 Januari 2025, kompaun RM10,000 telah dikenakan oleh MCMC.
Tindakan ini diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025, di mana denda maksimum adalah RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.- MalaysiaGazette