KUALA LUMPUR – Kira-kira 8,000 orang penjawat awam Negeri Pahang akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM1,000.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM8 juta bertujuan untuk meringankan beban bagi menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri ini akan mula dibayar seminggu sebelum Aidilfitri, katanya.
“Diharapkan bantuan ini dapat meningkatkan semangat penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama,” kata beliau.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Program Jualan Makmur Kluster Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2025 yang merupakan program jualan barangan makanan keperluan ketika perayaan Aidilfitri bermula 22 hingga 27 Mac 2025 melibatkan 26 lokasi jualan di seluruh Pahang.
Program ini melibatkan kerjasama pasar raya dan pembekal terpilih dengan pengurangan harga barangan daripada 15 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran semasa yang disubsidikan oleh kerajaan negeri melibatkan implikasi kewangan RM1.1 juta bagi mengurangkan beban rakyat yang akan menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Justeru, saya berharap agar masyarakat di negeri ini mengambil peluang selama enam hari penganjuran untuk menyokong program Jualan Makmur ini dengan menikmati pengurangan harga yang menarik bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini,” ujar beliau lagi. – MalaysiaGazette