KUALA LUMPUR – Perdana Menteri hari ini mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjelaskan perbezaan hukuman dan kompaun berhubung isu menghina agama.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, semua pihak perlu faham akan perubahan akta dan undang-undang yang telah diluluskan sebelum ini, hatta berlakunya perbezaan hukuman dan kompaun yang dikenakan.
Jelas beliau, sebarang tanggapan atau perkongsian maklumat tidak tepat akal hal ini, akan hanya mencetuskan persepsi tidak sihat tatkala semua pihak dituntut untuk terus menyemai benih keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
“Hari ini juga, YAB PM mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri dan sudah pastinya sebarang keputusan atau hasil perbincangan akan dimaklumkan YB Menteri Komunikasi petang ini,” kata Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam sesi taklimat harian hari ini.
Mengulas mengenai pertemuan dengan tiga penyampai radio Era FM ketika menghadiri Majlis Iftar Bersama Pengamal Media semalam, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri sudah beri nasihat dan berpesan kepada mereka supaya sentiasa membawa mesej perpaduan dalam tugasan harian.
“Alhamdulillah, mesej PM bukan saja menjurus kepada mereka namun kepada semua pihak agar bersama-sama menjadi ejen perpaduan dan membantu usaha Kerajaan Madani menyatukan seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, agama, kaum dan bangsa.
“YAB PM juga berharap, setiap rakyat Malaysia pelbagai kaum dapat menoktahkan perkara ini dan bergerak ke hadapan dalam memastikan keadaan rakyat dan negara sentiasa dalam keadaan baik dan saling hormat menghormati,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri juga menzahirkan penghargaan kepada mana-mana pihak yang telah menghentikan sebarang unsur negatif atau cubaan untuk mengeruhkan lagi keadaan. – MalaysiaGazette