Tangkap layar video yang tular memaparkan dua lelaki sedang bergaduh di Lebuhraya EDL, Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Polis sedang memburu dua lelaki yang mana salah seorang daripadanya mengacah mahu memukul menggunakan sebatang kayu dalam insiden pergaduhan di bandar raya ini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian tersebut yang tular dikesan berlaku di Lebuhraya Eastern Dispersal Link (EDL) menghala ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

“Siasatan dijalankan selepas rakaman berdurasi 27 saat memaparkan seorang lelaki bertengkar dengan seorang lagi individu sebelum mengacah mahu memukulnya menggunakan sebatang kayu.

“Kejadian membabitkan seorang lelaki yang memandu Honda HR-V berwarna perak bertikam lidah dengan seorang lelaki lain. Berdasarkan video, suspek dilihat mengugut mangsa dengan kayu.

“Pihak polis kini giat mengesan kedua-dua individu terbabit bagi membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Video tersebut dimuat naik dalam media sosial kelmarin, dipercayai berlaku ketika jalan raya sesak, bagaimanapun punca sebenar masih tidak diketahui.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu diminta menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan  07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here