KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan individu yang merakam video Ismanira Abdul Manaf bersama dua anaknya iaitu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin dan Mateen bagi membantu siasatan polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan akan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada video terbabit mempunyai kaitan atau tidak dalam kes kematian Zayn Rayyan pada Disember tahun lalu.
“Pihak polis ada menerima laporan berkenaan (video memaparkan pengadu dan dua anaknya di kawasan parkir motosikal Blok R Apartment Idaman Damansara Damai).
“Polis akan cari sumber asal video terbabit dan siasatan lanjut akan dijalankan jika ada sebarang kaitan dengan kes pembunuhan Zayn Rayyan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.
Terdahulu, polis telah mengambil keterangan Ismanira, susulan laporan yang dibuat mengenai video meragukan yang memaparkan dia berjalan bersama dua anaknya yang tular di aplikasi TikTok.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor dilaporkan berkata, kes terbabit telah dirujuk semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kerana kejadian permulaan berlaku di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette
Ibu Zayn Rayyan buat laporan polis individu rakam video sebelum kematian anaknya