Chen Huei bersama isterinya Puji didakwa atas pertuduhan menggajikan 30 warga asing tanpa permit di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menggajikan 30 pekerja asing tanpa permit sah, bulan lalu.

Tertuduh, Chong Chen Huei, 48, dan isterinya yang merupakan warga Indonesia, Puji Astutiningsih, 51, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Mengikut pertuduhan mereka secara bersama telah mengambil 30 pekerja warga Indonesia yang tidak memiliki pas yang sah di sebuah rumah di Lorong Tembaga, Jelutong di sini, jam 10 pagi pada 27 Februari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 55B (1) Akta Immigresen 1959/1963 (Akta 155) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan bagi setiap pekerja, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Penyiasat Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Inspektor Wan Muhammad Syamim Wan Azmi manakala tertuduh diwakili peguam M. Sharmila.

Semasa prosiding, Wan Muhammad Syamim mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap Chen Huei manakala Puji tidak ditawarkan jaminan atas alasan dia merupakan warga asing.

Bagaimanapun, Sharmila dalam mitigasi rayuan memaklumkan Chong Huei bekerja sebagai peniaga dengan pendapatan RM3,000 manakala Puji tidak bekerja dan mereka mempunyai empat anak termasuk seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU).

“Mereka memberi kerjasama kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan dan dibebaskan dengan jaminan polis pada 3 Mac lalu,” katanya.

Siti Nurul Suhaila kemudian membenarkan  jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap Chen Huei manakala RM30,000 serta dua penjamin warga Malaysia bagi Puji.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan  pasangan terbabit menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah sehingga kes tersebut selesai  manakala Puji pula dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan. Kes tersebut akan disebut semula pada 15 April depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast