KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon dari UMNO bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon pada12 April depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengumuman calon itu akan diadakan bersempena Majlis Pelancaran Jentera BN PRK Ayer Kuning.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata UMNO sudah menyenarai pendek enam nama selepas perbincangan beliau bersama Pengerusi BN Perak yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Perbincangan sudah saya adakan dengan Menteri Besar Perak selaku Pengerusi BN Perak dan enam nama sudah disenarai pendek.
“Kita akan umum (calon) sempena pelancaran jentera Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Insya-Allah kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sebelum ini berkata, BN tidak akan mengemukakan calon di luar daripada senarai calon yang disenarai pendek oleh BN Perak.
Katanya, calon yang akan dipertimbangkan itu terdiri daripada kepemimpinan UMNO Bahagian Tapah.
Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning berlaku susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Jumaat lalu mengumumkan tarikh bagi penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning akan dilaksanakan pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar. – MalaysiaGazette