Presiden MCW, Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa kerajaan mempercepatkan penggunaan teknologi dalam sistem pendaftaran kelahiran bagi mengurangkan campur tangan manusia serta meningkatkan ketelusan dan keselamatan maklumat.

Dalam masa sama, Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, kerajaan juga perlu memperketatkan proses pendaftaran kelahiran, terutamanya bagi kes lewat daftar dengan mekanisme yang lebih telus.

Ujarnya, ia bagi mengelakkan manipulasi dan eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Outlander dan Op Birth.

“Perbuatan memanipulasi status kewarganegaraan melalui rasuah adalah jenayah serius yang tidak boleh dikompromi.

“Kes ini bukan sahaja mencemarkan integriti institusi kerajaan tetapi juga menimbulkan ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/03/12/rasuah-daftar-kelahiran-doktor-bergelar-datuk-antara-16-yang-ditahan/

Beliau mengulas mengenai penahanan seramai 16 individu oleh SPRM kerana disyaki terbabit rasuah pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata kesemua suspek berusia di antara 20-an hingga 70-an itu ditahan dalam beberapa serbuan menerusi Op Outlander dan Op Birth ke atas beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor, semalam.

Sementara itu, Jais berkata, individu yang terlibat dalam kegiatan rasuah sijil kelahiran tersebut termasuk penjawat awam mesti dikenakan tindakan tegas bagi memastikan kesalahan itu tidak berulang.

Ujarnya, hukuman yang lebih berat perlu dikenakan terhadap dalang utama bagi memberi isyarat jelas bahawa penyalahgunaan kuasa tidak akan diterima.

“MCW juga menyeru lebih ramai pihak tampil ke hadapan dengan maklumat berkaitan kes sebegini.

“Perlindungan kepada pemberi maklumat harus diperkukuh bagi memastikan pendedahan kes rasuah tidak menghadapi ancaman atau tekanan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan pegawai kerajaan dan petugas barisan hadapan yang terlibat dalam pendaftaran dokumen rasmi perlu diberikan latihan berkala mengenai integriti serta kesan buruk rasuah terhadap negara dan masyarakat.  – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast