ALOR GAJAH – Seorang penumpang van maut manakala seorang lagi cedera dalam nahas di Kilometer 209.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa yang maut adalah lelaki berusia 47 tahun dipercayai penumpang hadapan van berkenaan.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka Pegawai Bomba Kanan II Muhammad Nor Fawzal Samsunahar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.09 petang.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati van jenis Hiace itu telah terbabas merempuh besi penghadang lebuh raya menyebabkan dua mangsa terlibat.
“Mangsa lelaki berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan manakala seorang lagi lelaki berusia 32 tahun cedera,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Menurut Muhammad Nor, mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital manakala mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat pada pukul 6.47 petang. – MalaysiaGazette.