KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman 12 individu kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.
Perintah reman selama empat dan lima hari iaitu sehingga 15 dan 16 Mac itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin terhadap dua suspek lelaki berusia lingkungan 20 dan 40-an selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Manakala 10 lagi suspek membabitkan empat lelaki dan enam wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an direman selama lima hari sehingga 16 Mac 2025 selepas Majistret Ameera Mastura Khamis membenarkan permohoanan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Menurut sumber, seramai 16 suspek berusia antara 20 hingga 70-an telah ditahan antara pukul 11 pagi hingga 8 malam semalam menerusi Op Outlander dan Op Birth yang dijalankan di sekitar Lembah Klang dan Johor.
“Suspek-suspek yang ditahan terdiri daripada seorang penjawat awam, seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri, seorang pengamal undang-undang, beberapa ejen dan pemohon daftar kelahiran.
“Kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2013 hingga 2018 dan 2023 hingga 2025 dengan menerima serta memberi rasuah termasuklah menyediakan selain mengemukakan dokumen pengesahan kelahiran palsu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.
Katanya, empat lagi suspek melibatkan seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri yang turut ditahan dalam dua operasi berkenaan telah dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan dan selepas keterangan mereka selesai dirakamkan. – MalaysiaGazette