Bekas pegawai penyiasat, Asisten Komisioner R. Rajagopal tiba bagi perbicaraan kes 1MDB yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 05 MAC 2025 (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Bekas pegawai penyiasat kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak menerima arahan untuk mengemukakan pendakwaan terhadap beberapa pegawai kanan syarikat itu.

Mereka ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd. Hazem Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir dan Radhi Mohamad serta bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.

Bekas Ketua Unit Siasatan Jenayah Korporat (CCID) Bukit Aman, Senior Asistan Komisioner (SAC), R. Rajagopal berkata, beliau tidak mengesyorkan kepada pendakwa raya untuk mengemukakan pertuduhan terhadap mereka.

Beliau yang menyiasat laporan polis pada Disember 2014 berhubung dakwaan berlaku pecah amanah jenayah membabitkan dana 1MDB kemudian bersara pada April 2023.

Rajagopal yang juga saksi pembelaan ke-11 (DW11) menjelaskan, siasatan masih diteruskan dan pasukannya ketika itu masih menunggu dokumen luar negara untuk melengkapkan siasatan.

Menurut Rajagopal, siasatan turut melibatkan beberapa individu termasuk ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, Tan Kim Loong, bekas pengarah eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee dan bekas pegawai 1MDB Geh Choh Heng.

“Bagaimanapun mereka tidak dapat dikesan, pertuduhan difailkan untuk mendapatkan waran tangkap, membolehkan kami meminta notis merah Interpol,” katanya.

Antara mereka yang didakwa tanpa kehadiran termasuk ahli perniagaan buruan Low Taek Jho, Tan Kim Loong, bekas pengarah eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee dan bekas pegawai 1MDB Geh Choh Heng.

Najib, 71, menghadapi 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here