Seorang individu, Kepten Kelvin Holly yang merupakan warganegara Australia berada di atas kapal dan beliau telah berada di laut sejak 8 Mac lalu.

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekali lagi membuktikan keupayaannya dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di laut apabila berjaya menyelamatkan sebuah kapal layar, Meridian of Sydney yang mengalami masalah kerosakan jentera utama di perairan barat laut Pulau Perak.

Kapal tersebut dipercayai telah hanyut selama empat hari, kata kenyataan Markas Pemerintahan Armada arat Lumut, Perak hari ini.

Pusat Operasi Markas Wilayah Laut 3 (PUSOP MAWILLA 3) telah menerima maklumat pukul 11.30 pagi daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengenai kegagalan komunikasi dengan kapal layar tersebut ketika dalam pelayaran dari Krabi ke Langkawi.

“Menyedari keperluan untuk bertindak pantas, TLDM segera menggerakkan Kapal Diraja (KD) MAHAMIRU untuk menjalankan pencarian bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

“KD MAHAMIRU tiba di lokasi pukul 1.15 tengah hari dan mendapati kapal layar berkenaan mengalami kerosakan pada jentera utama dan layar menyebabkan ia tidak dapat
meneruskan pelayaran,” kata kenyataan yang sama.

Seorang individu, Kepten Kelvin Holly yang merupakan warganegara Australia berada di atas kapal dan beliau telah berada di laut sejak 8 Mac lalu.

“TLDM terus bertindak pantas dengan memberikan bantuan awal berupa makanan dan minuman kepada Kepten Kelvin Holly sebelum melaksanakan operasi menunda kapal layar
tersebut ke perairan Langkawi,” ujarnya.

Ketika kenyataan ini dikeluarkan, KD MAHAMIRU sedang menunda kapal layar tersebut ke Jeti Langkawi dan akan diserahkan kepada APMM untuk urusan selanjutnya.

Kecekapan dan tahap profesionalisme warga TLDM dalam operasi ini membuktikan tanggungjawab dan amanah yang digalas adalah fokus utama dalam memastikan keselamatan maritim serta berkeupayaan untuk bertindak pantas dalam sebarang keadaan kecemasan di perairan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here