Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad.

KUALA LUMPUR – Pakar pendidikan menyifatkan penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) menerima 70 peratus pelajar jurusan sains tulen sebagai langkah tepat dan wajar disegerakan.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, saranan itu juga mengembalikan semula matlamat asal penubuhan kedua-dua institusi terbabit iaitu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.

Selain itu, jelas beliau, kedua-dua institusi berkenaan iaitu SBP yang diperkenalkan sejak sebelum merdeka serta MRSM yang ditubuhkan pada 70-an juga berperanan memupuk minat generasi muda bumiputera khususnya untuk mendalami bidang sains dan teknologi.

“Kita mahu SBP dan MRSM ini kembali kepada matlamat asalnya iaitu untuk menjadi insitiusi pendidikan peringkat menengah yang dapat membekalkan sumber manusia dan tenaga kerja mahir dalam bidang sains tulen serta sains dan teknologi.

“Ini supaya kita dapat tingatkan bilangan pakar dalam bidang sains, kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI), perubatan dan sebagainya pada masa depan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan Anwar semalam supaya sekurang-kurangnya 70 peratus pelajar yang memohon untuk memasuki SBP dan MRSM mulai tahun depan perlu memilih jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurut Anwar, langkah itu berikutan minat pelajar terhadap jurusan STEM termasuk kejuruteraan ketika ini dilihat semakin berkurangan, sekali gus merupakan kerugian ketika banyak syarikat telekomunikasi gergasi dunia seperti Google, Microsoft dan sebagainya melabur dalam bidang STEM termasuk kecerdasan buatan (AI) di negara ini.

Sementara itu, Anuar berkata, sejajar dengan saranan Perdana Menteri itu juga, kerajaan perlu berusaha untuk terus menambah peluang pekerjaan dalam bidang sains tulen atau STEM.

Jelasnya, ia bagi mendorong serta menarik minat pelajar serta ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke SBP dan MRSM selain sebagai motivasi kepada generasi muda untuk memilih bidang berkaitan sains tulen dan STEM.

“Jaminan peluang pekerjaan yang luas serta pendapatan yang tinggi dalam bidang sains tulen dan STEM ini juga dapat menjadi motivasi kepada pelajar serta ibu bapa dan dalam masa sama, dapat memastikan bekalan tenaga kerja mahir buat negara sentiasa mencukupi,” kataya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here