Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani 2025 bersama Pimpinan Masyarakat Setempat Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Kebudayaan dan Belia, Seksyen 7, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Walaupun sudah 33 tahun Akta Perkhidmatan Parlimen (APP) dimansuhkan namun masih ada ahli Parlimen pembangkang bersikap berkecuali dan tiada berupaya membuat keputusan untuk mengembalikan akta tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lebih malang apabila mereka masih dipilih rakyat sebagai ahli Parlimen meskipun setelah 20 tahun masih bersikap sedemikian dan tidak melakukan reformasi institusi.

“Sebagai Menteri Kewangan, ada dua undang-undang di Parlimen di mana saya serah kuasa menteri itu balik ke Parlimen.

“Ini yang dikatakan reformasi institusi, dipanggil Akta Kepertanggungjawaban Kewangan, saya kata pertumbuhan tahun depan sekitar lima peratus, kalau turun empat peratus, saya kena bentang semula kepada Parlimen dan kena bahas, bantah, kritik.

“Baru-baru ini kita luluskan lagi peraturan dan undang (Akta Perkhidmatan Parlimen) di mana kuasa Parlimen dimartabatkan kerana Parlimen itu patut badan bebas, semua sokong dua pertiga, (tetapi) 57 pembangkang tak sokong, dia masih fikir.

“Sudah 20 tahun bincang pasal dasar ini, kamu masih fikir, kamu tak reti nak buat keputusan, bagaimana kamu layak jadi ahli Parlimen,” katanya berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani 2025 bersama Pimpinan Masyarakat Setempat Selangor di Dewan Raja Muda Musa, di sini hari ini.

Anwar juga berkata, di bawah Kerajaan Madani, kuasa Parlimen yang sebelum ini diletakkan di bawah Perdana Menteri kini dikembalikan kepada institusi perundangan itu.

“Sebab itu dulu fikir…renung…fikir…renung…tak jadi buat sebab tak ada Perdana Menteri nak serah kuasa kepada Parlimen.

“Kali ini kita ambil keputusan serah, pun dihamunnya lagi, tak adil, tak bebas,” katanya lagi . – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here