JOHOR BAHRU – Harga santan masih tinggi di negeri ini walaupun bekalan kelapa dan santan dilaporkan sudah kembali stabil selepas mengalami kekurangan bekalan pada awal tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, agensi kerajaan terlibat berterusan berusaha bagi memastikan bekalan mencukupi untuk Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
“Ini membabitkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta beberapa agensi lain.
“Semasa tinjauan dilakukan di pasar, peniaga santan mengakui terdapat kekurangan bekalan kelapa pada awal tahun namun ia sudah kembali stabil pada masa sekarang.
“Bagaimanapun kita akui bahawa harga santan meningkat daripada harga purata sekitar RM12 hingga RM14 sekilogram kepada RM16 ringgit hingga RM17 sekilogram,” katanya selepas melawat Pasar Awam Taman Perling pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo.
Sementara itu, Ting Han berkata, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Jualan Rahmah bagi membantu rakyat mendapatkan kelapa dan santan pada harga lebih rendah.
“Hari ini, menerusi Jualan Rahmah, kita beri subsidi dan diskaun 30 peratus santan. Dapat dilihat tadi harga santan dijual pada RM12 sekilogram.
“Selain itu, langkah menambah stok dan meningkatkan bekalan akan terus diusahakan bagi menstabilkan harga dalam jangka masa panjang.
“Kita akan terus berusaha memastikan bekalan kekal mencukupi dan harga kembali ke paras yang lebih stabil,” katanya.
Pada bulan lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dilaporkan mengambil langkah menstabilkan bekalan kelapa domestik dengan mengimport dan mengedarkan 661,761 biji kelapa atau bersamaan 661 metrik tan, dalam menangani isu kekurangan bekalan kelapa negara.- MalaysiaGazette