JOHOR BAHRU – Polis merampas 81 guni beras super import dari India yang diseludup ke negara ini dalam satu operasi khas di kawasan perindustrian Kota Puteri, Masai di sini semalam.
Sepasukan anggota dari Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama-sama pegawai Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Johor melakukan serbuan dari jam 12 tengah hari hingga 2.30 petang.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pemeriksaan mendapati premis perniagaan tersebut gagal mematuhi syarat di bawah Peraturan 9(4), P.U (A) 624/96 Kawalan Padi dan Beras (Perlesenan Pemborong dan Peruncit).
“Sebanyak 68 guni beras super import seberat 25 kilogram setiap satu dan 13 guni beras super import seberat 50 kilogram setiap satu telah dirampas, dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM19,975.
“Seorang lelaki warga India berusia 48 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis telah diperiksa sebelum dibebaskan selepas keterangannya diambil,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kes disiasat dbawah Peraturan 10(1)(a) P.U (A) 624/96 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM15,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.- MalaysiaGazette