Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas mendakwa UMNO ibarat sedang membunuh diri kerana masih lagi bersama-sama dengan DAP.

Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kenyataan terbaharu Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memperlihatkan UMNO bukan sebuah parti yang dihormati.

Ahli Parlimen Marang itu turut mendakwa, kenyataan Guan Eng memberi implikasi sinis terhadap parti-parti Melayu dalam Kerajaan Perpaduan.

“Terkini, pemimpin utama DAP Lim Guan Eng, dalam satu majlis makan malam Kelab Veteran Kebangsaan DAP di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, mengeluarkan kenyataan bahawa, “DAP tidak pernah dikuasai UMNO semasa kita menjadi pembangkang dan tidak akan dikuasai apabila kita berada dalam kerajaan.”

“Kenyataan ini memperlihatkan bahawa UMNO yang kini mencium DAP, ibarat hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

“Situasi ini menunjukkan bahawa parti-parti Melayu-Islam seperti Parti Amanah Negara, Parti Keadilan Rakyat dan UMNO dalam PH laksana mangsa yang dibelit oleh ular besar, sehingga letih lalu akhirnya ditelan sedikit demi sedikit,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Hadi mendakwa, parti Amanah dan pemimpin Melayu dalam DAP sekadar menjadi suara yang berteriak bagi pihak DAP.

Manakala PKR dan UMNO pula dakwa beliau, terpukau dengan belitan pangkat dan projek mega yang menidurkan.

“Mereka sanggup bersama DAP asalkan diberikan jawatan sebagai menteri, timbalan menteri, menteri besar, atau exco, malah ada yang menagih projek mega.

“Kesemuanya seolah-olah menjadi semut yang membunuh diri sendiri dalam gula yang manis. Bukan Pas yang membunuh UMNO jika bersama-sama dalam satu gabungan, seperti yang diuar-uarkan.

“Sebaliknya, UMNO yang sedang membunuh dirinya sendiri, laksana kelekatu yang terjun ke dalam api kerana tertarik kepada cahaya api yang akhirnya membakar diri,” katanya.

Abdul Hadi berkata, Allah telah menetapkan sempadan dalam bekerjasama dengan kalangan bukan Islam iaitu hanya dengan mereka yang tidak bersikap ekstrem.

Sementara pihak yang menentang Islam dan cuba menyingkirkan bangsa Melayu serta bumiputera perlu ditolak.

Serentak itu Pas mengajak parti-parti terbabit yang disifatkan sebagai terlanjur untuk kembali ke pangkal jalan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here