MUAR – Dua lelaki ‘lalok’ berjaya ditahan selepas memecut keretanya sejauh tujuh kilometer melarikan diri apabila diarahkan polis berhenti untuk pemeriksaan di Jalan Pintasan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian tersebut bermula apabila pihak polis cuba menghentikan kereta suspek jenis Honda City kelabu dalam Op Utama pada pukul 9 pagi.
“Namun, kedua-dua suspek masing-masing berusia 34 tahun dan 24 tahun enggan berhenti bagi tujuan pemeriksaan sebaliknya terus memecut laju.
“Pihak polis mengejar kereta suspek dan mengarahkan mereka untuk memberhentikan kereta beberapa kali namun masih enggan berhenti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar kemudian berjaya menahan suspek di lorong belakang Jalan Selasih, Taman Selasih, Sungai Abong, di sini, selepas mengejar hampir tujuh kilometer.
Raiz Mukhliz berkata, kedua-dua suspek dibawa ke IPD Muar untuk tindakan lanjut, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
Selain itu katanya, suspek juga mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Muar hari ini bagi permohonan reman,” ujar beliau.
Menurutnya, insiden mengejar kereta suspek berkenaan tular dalam Facebook yang memaparkan sebuah video berdurasi 13 saat.
Kes disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Suspek katanya, turut disiasat bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun.
Di samping itu kata Raiz Mukhliz, siasatan dilakukan bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
“Pihak polis menyeru kepada semua pengguna jalan raya agar bersedia untuk memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa semasa berada di jalan raya.
“Kegagalan untuk mematuhi arahan ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi juga pengguna jalan raya yang lain,” katanya.- MalaysiaGazette