Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Hanya 26 peratus daripada 1.16 penggiat gig di seluruh negara mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, situasi ini membimbangkan terutama terhadap kelangsungan kehidupan mereka sekiranya berdepan dengan perkara tidak diingini termasuk kemalangan semasa bekerja.

“Jika diteliti data Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO, pencarum bagi sektor pengangkutan barangan atau makanan terdiri daripada 123,173 individu iaitu 40.7 peratus berbanding jumlah keseluruhan 302,414 individu.

“Dari segi faedah, sejumlah RM8.98 juta disalurkan kepada pencarum di sektor ini sepanjang 2024, dengan bilangan tuntutan mencecah 1,535 kes atau 32 peratus daripada jumlah keseluruhan, tahun lalu.

“Justeru, liputan perlindungan sosial yang sudah dijadikan mandatori bagi sektor ini wajar lebih meluas bagi memastikan kelangsungan sosioekonomi mereka tidak terjejas andai ditimpa bencana kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sempena Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Antara PERKESO dan foodpanda di Menara PERKESO Kuala Lumpur, hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Tan Ming Luk, sambil disaksikan Steven Sim dan Pengarah Operasi foodpanda Malaysia, Shubham Saran.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal.

Antara inti pati MoU adalah tajaan RM200,000 daripada foodpanda bagi membiayai baki 10 peratus caruman SPS Padanan Caruman 2.0 yang bakal memanfaatkan lebih 8,000 penghantar foodpanda sekali gus menjamin aspek kebajikan mereka.

Steven menambah, inisiatif foodpanda itu harus diteladani pelbagai syarikat di sektor sama kerana selain mengutamakan keuntungan, pengendali platform juga wajar mengimbangi keperluan untuk membela nasib rakyat Malaysia yang menjana pendapatan di sektor tidak formal.

“Tahun lepas, daripada RM100 juta peruntukan diberikan, kerajaan menyuntik peruntukan tambahan RM86.2 juta untuk SKSPS demi memastikan tiada yang terpinggir daripada mendapat manfaat perlindungan sosial,” katanya.

Sementara itu, Ming Luk berkata, MoU berkenaan adalah cerminan komitmen foodpanda ke arah menyediakan perlindungan sosial lebih menyeluruh untuk penunggang p-hailing di bawah platformnya.

Foodpanda juga komited untuk meningkatkan taraf hidup rakan penghantaran melalui program panda hearts, bertujuan memperkasa dan menyokong rakan penghantar dalam lima bidang teras iaitu keselamatan, kesejahteraan, pembangunan peribadi, komuniti dan faedah kebajikan.

“Di foodpanda, rakan penghantar adalah nadi operasi syarikat dan mereka bukan sekadar penghantar, tetapi tulang belakang platform yang memastikan jutaan pelanggan di seluruh negara menerima barangan tepat pada masanya,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here