BALIK PULAU – Polis menahan seorang lelaki tempatan yang melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan parang terhadap seorang juruteknik sebuah syarikat penapis air dalam kejadian di Solok Sungai Ara 2 dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, berdasarkan laporan mangsa berusia 21 tahun itu baru sahaja selesai menjalankan servis mesin penapis air sebelum tiba-tiba didatangi suspek dengan bersenjatakan parang.
“Suspek turut mengeluarkan ugutan serius dengan berkata, “Sekali lagi saya nampak you, saya akan potong kepala you!”
“Bimbang akan keselamatannya, mangsa segera meninggalkan lokasi sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Tambah Sazalee, hasil siasatan mendapati suspek berusia 33 tahun itu dikatakan bertindak agresif apabila melihat individu yang tidak dikenali berada di dalam rumahnya.
“Soal siasat lanjut mendapati isterinya tidak memaklumkan kepada suspek berhubung kehadiran juruteknik itu bagi sesi servis penapis air di rumah mereka.
“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kes ini dan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah,” katanya. – MalaysiaGazette