Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan kerajaan mengambil risiko besar dengan menyuntik dana kepada Sapura Energy Bhd (SEB) di sebalik dakwaan syarikat itu telah melalui proses semakan oleh pakar bebas.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Jika SEB benar-benar berdaya saing, syarikat itu seharusnya mampu menarik pelaburan swasta tanpa perlu campur tangan kerajaan.

Jelas beliau, hakikat bahawa kerajaan perlu masuk campur membuktikan kelemahan daya saing syarikat tersebut.

“Kerajaan juga mendakwa bahawa pelaburan ini boleh dibayar balik menerusi opsyen penukaran saham, namun ini hanya berlaku jika harga saham SEB meningkat.

“Jika harga saham jatuh atau syarikat terus mengalami kerugian, kerajaan berisiko kehilangan pelaburan ini sepenuhnya.

“Dengan ketidakstabilan pasaran minyak dan gas serta rekod kewangan SEB yang lemah, kebarangkalian untuk kerajaan mengalami kerugian besar sangat tinggi,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau, hari ini.

Tambah Ahmad Fadhli, beliau tidak mempunyai halangan sekiranya langkah suntikan modal itu benar-benar diperlukan untuk menyelamatkan sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan strategik kepada industri minyak dan gas negara.

Namun, apa yang dipersoalkan, katanya, bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dahulunya begitu lantang mengkritik kerajaan atas tindakan menyelamatkan SEB, kini melakukan perkara yang sama, malah dalam bentuk yang lebih besar.

“Bukankah dulu beliau berdegar-degar menjanjikan pelbagai formula yang lebih baik, lebih telus, dan kononnya tidak membebankan kerajaan? Jadi, apa yang berubah sekarang?” katanya.

Tambah beliau, walaupun kerajaan mendakwa dana itu digunakan untuk membayar lebih 2,000 vendor tempatan dan menyokong 59,000 pekerja industri minyak dan gas, ia tidak menafikan hakikat bahawa suntikan modal tersebut datang daripada entiti berkaitan kerajaan bagi menyelamatkan syarikat bermasalah.

Dakwanya, SEB telah lama mengalami tekanan kewangan yang serius dengan hutang mencecah lebih RM10 bilion dan tanpa campur tangan kerajaan, syarikat itu berpotensi gagal membayar pembekal dan pekerja.

“Persoalannya, mengapa hanya SEB menerima pelaburan ini, sedangkan banyak syarikat perkhidmatan minyak dan gas lain juga menghadapi kesukaran?

“Apakah mekanisme lain seperti penstrukturan semula hutang telah dipertimbangkan sebelum kerajaan mengambil keputusan untuk campur tangan?” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut mempersoalkan keyakinan kerajaan memberikan RM1.1 bilion kepada SEB, sedangkan audit forensik yang dahulu dicadangkan oleh Anwar sendiri langsung tidak dijalankan.

Langkah itu, ujar beliau, menimbulkan tanda tanya sama ada kerajaan telah membuat kesimpulan bahawa SEB benar-benar bersih tanpa perlu sebarang siasatan terperinci.

“Jika benar begitu, di mana ketelusan yang sering dilaungkan? Jika pelaburan ini bukan bailout, mengapa rakyat masih perlu menanggung risiko ini?” katanya.

Terdahulu, Anwar hari ini menjelaskan, suntikan pelaburan sebanyak RM1.1 bilion kepada SEB bukan berbentuk dana hangus, sebaliknya pinjaman yang perlu dibayar semula syarikat itu.

Kata Perdana Menteri, suntikan dana terbabit bukan diberi begitu sahaja, sebaliknya kerajaan memulakan langkah dengan menjalankan audit forensik untuk mengenal pasti masalah sebenar dihadapi syarikat itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast