JOHOR BAHRU – Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Bertingkat dijangka dapat mengurangkan isu kesesakan lalu lintas di bandar raya ini sebagai alternatif pengangkutan awam yang lebih efisien.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, projek terbabit telah melalui proses perbincangan intensif selama hampir dua tahun dengan Kementerian Pengangkutan dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).
“Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengadakan perbincangan di Putrajaya, baru-baru ini bagi membincangkan kaedah pelaksanaan projek ini.
“Kita jangka dapat memulakan proses Request for Proposal (RFP) atau tender dalam bulan ini atau bulan depan supaya kerja-kerja pembinaan boleh dimulakan pada suku ketiga tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pasar Awam Taman Perling, di sini, hari ini.
Katanya, projek terbabit amat penting kerana daerah Johor Bahru yang kini disenaraikan sebagai salah satu bandar dalam jawatankuasa Kabinet untuk kesesakan.
“Projek ART dijangka menelan kos hampir RM7 bilion dan bakal beroperasi seiring dengan Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura pada 1 Januari 2027.
“RTS Link dijangka membawa 20,000 penumpang setiap jam ke pusat bandar, jadi kita perlu ada sistem pengangkutan sokongan untuk memastikan kelancaran aliran trafik.
“ART akan melengkapkan sistem bas dan teksi sedia ada serta menjadi alternatif bagi pergerakan warga kota,” jelasnya.
Menurut beliau, apabila siap kelak, ART akan memberi impak ekonomi yang besar kepada Johor Bahru.
“Selain menjimatkan masa perjalanan, ia juga akan memudahkan pergerakan barang dan orang, sekaligus menyokong pertumbuhan sektor peruncitan, makanan, pelancongan dan lain-lain.
“Kita tidak boleh bergantung kepada satu sistem sahaja. Dengan adanya RTS Link dan ART, kita boleh mengurangkan kesesakan, meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dan memberi manfaat kepada ekonomi negeri,” katanya. – MalaysiaGazette