SANAA – Pelaksanaan semula larangan pelayaran kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel di Laut Merah, Laut Arab, Selat Bab al-Mandeb dan Selat Aden yang berkuatkuasaa pada Selasa lalu adalah bagi menentang dasar agresif pencerobohan Israel di rantau Timur Tengah.
Pemimpin Houthi Yemen, Sayyed Abdul-Malik al-Houthi berkata, seperti diumumkan Selasa lalu, kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel yang memasuki perairan terbabit akan dijadikan sasaran.
Beliau yang mengutuk tindakan Israel menghalang bantuan kemanusiaan memasuki Gaza berkata, ia merupakan usaha untuk mewujudkan kebuluran kepada penduduk Palestin dan menyifatkannya sebagai ‘jenayah besar terhadap kemanusiaan’.
Katanya, pelaksanaan semula operasi ketenteraan itu adalah langkah praktikal terhadap keganasan Israel.
Menurut beliau, menghalang aktiviti maritim Israel merupakan langkah pertama dan berjanji lebih banyak langkah lain akan diambil jika penceroboh tidak berganjak menghalang bantuan kemanusiaan tiba di Gaza.
“Semua pilihan kekal di atas meja jika kebuluran rakyat Palestin berterusan,” ujarnya.
Mengulas mengenai pendirian negara Arab dan Islam bertindak pasif terhadap dasar Israel yang agresif, Sayyed Abdul-Malik menyifatkannya sebagai pengkhianatan terhadap tanggungjawab ke atas penduduk Palestin.
Katanya, tindakan Israel disokong Amerika Syarikat (AS) dan secara diam-diam diluluskan rejim negara-negara Arab dan Islam yang menunjukkan kekurangan usaha untuk berdepan dengan pencerobohan israel.
“Kedudukan negara-negara Arab dan Islam tidak meningkatkan tahap kemanusiaan, agama atau moral tanggungjawab berhubung Palestin,” katanya sambil menambah kenyataan para pegawai pada Sidang Kemuncak Arab bernada lemah dan tidak diikuti langkah diplomatik dan ekonomi yang kukuh.
Beliau yang mempersoalkan cadangan Bank Dunia supaya rejim Arab pengwujudan laluan darat alternatif bagi memintas halangan Yemen ke atas barangan yang menuju Israel bertanya sama ada negara-negara Arab akan menolak cadangan tersebut atau bersubahat dengan penceroboh.
Beliau yang merujuk kepada masa lampau menyatakan lori-lori dari negara Arab membawa barangan ke Israel semasa pencerobohan dilakukan dan memberi amaran kekurangan kutukan dari negara Arab ke atas Israel menyebabkannya berani melakukan pencerobohan secara berperingkat.
“Ia tidak boleh diterima penduduk kami untuk selari dengan pendirian mereka (rejim Arab) kerena kedudukan tersebut menggambarkan kelemahan dan meninggalkan tanggungjawab,” katanya.
Sayyed Abdul-Malik mengiktiraf penentangan negara-negara Arab terhadap sebarang usaha memindahkan penduduk Palestin namun ia merupakan tindakan balas yang tidak mencukupi.
Beliau memberi amaran jika negara-negara Arab menerima pemindahan pendduduk Palestin, pihaknya akan menjadi penyerang secara langsung.
“Terdapat negara Arab melihat kami sebagai musuh utama mereka, kenapa? Kerana kami berpendirian teguh menyokong penduduk Palestin,” katanya sambil menambah mereka yang memihak Yemen dianggap bertindak melulu dan tidak berhemah.
Katanya, daripada mengkriitk tindakan Yemen, tekanan sepatutnya dikenakan kepada Israel yang secara berterusan menindas penduduk Palestin di bawah perlindungan AS.
“Sokongan AS membolehkan musuh melakukan langkah pencerobohan besar, dan ia tidak akan berhenti selagi tidak berhadapan dengan pencegahan dan pendirian yang kukuh,” ujarnya – Agensi