KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1.85 juta kepada 14 hospital dan pusat perubatan bagi membantu pesakit kurang berkemampuan menerusi Tabung Kebajikan Hospital.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, sumbangan ini bertujuan untuk meringkan beban pesakit yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban kos bayaran bil rawatan, ubatan dan sebagainya.
“MAIWP turut menyediakan bantuan khas sebuah Coaster Bus kepada Hospital Kuala Lumpur bernilai RM229,000 bagi kemudahan pesakit dan waris.
“Selain itu, kerjasama bersama Persatuan Kebajikan Bakti Kasih Malaysia (PKBKM) telah dijalinkan bagi menyalurkan sumbangan makanan berbuka puasa kepada 10,000 petugas barisan hadapan di hospital terpilih dengan jumlah peruntukan RM200,000,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Rahmah Madani Ramadan MAIWP: Majlis Sumbangan kepada Pusat Perubatan dan Hospital di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Tunku Azizah, di sini, hari ini.
Sumbangan itu telah diperkenalkan sejak 2010.
“Ini membuktikan komitmen MAIWP dalam menyantuni asnaf melalui pelbagai aspek keperluan di Wilayah Persekutuan ini.
“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan kerana sumbangan mereka memungkinkan program kebajikan ini terus dijalankan.
“Semoga bantuan yang disampaikan dapat membantu meringankan beban pihak pusat perubatan, hospital, dan petugas barisan hadapan dalam usaha menyantuni golongan pesakit asnaf khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan,” tambahnya. – MalaysiaGazette