KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan dirinya tidak tergesa-gesa untuk meninggalkan parti itu.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja mengakui bertemu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mendengar pendapat dan pandangan daripada Presiden UMNO itu berhubung isunya mahu menyertai parti lain.
Menurut Tengku Zafrul, beliau menerima saranan dan nasihat daripada Ahmad Zahid supaya tidak membuat keputusan terburu-buru untuk meninggalkan parti.
“Benar saya telah berjumpa dengan Datuk Seri Ahmad Zahid, pada masa itu, saya berbincang dengan beliau mengenai kedudukan saya dalam parti dan saya telah mendengar nasihat beliau jangan tergesa-gesa.
“Memang saya pun tak tergesa-gesa, saya berjumpa untuk mendengar pendapat dan sebagainya. Buat masa ini saya telah melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid dan pada fokus kembali kepada kerja,” katanya.
Beliau ditemui selepas melancarkan platform bersepadu maya Perdagangan Digital Madani (MDT) yang direka untuk mengukuhkan akses pengeksport Malaysia ke pasaran antarabangsa di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, dalam pertemuan beliau dan Ahmad Zahid, mereka mengadakan perbincangan secara terbuka sambil bertukar pandangan dengan mengambilkira bukan sahaja kepentingan terhadap beliau tetapi juga kesan ke atas UMNO.
“Perjumpaan yang sangat bagus, saya perlu katakan ia perbincangan yang dilakukan secara terbuka dan kami berdua bersetuju bahawa perlu fikirkan dengan teliti pentingnya untuk memastikan apa sahaja keputusan yang dibuat adalah tepat untuk saya terutamanya dan kepada parti.
“Saya diminta untuk berfikir jadi saya mengambil masa untuk berfikir,” katanya.
Media semalam melaporkan, Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan beliau telah menasihati Tengku Zafrul agar tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan untuk menyertai PKR susulan desas-desus dia menimbang untuk berbuat demikian sebelum ini.
Mengakui yang Tengku Zafrul ada menyatakan hasrat untuk meninggalkan UMNO, Ahmad Zahid memberikan nasihat ketika bertemu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu minggu lalu dan meminta jangan buat keputusan tergesa-gesa.
Pada Disember tahun lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan terdapat perbincangan awal dalam parti itu berhubung desas-desus penyertaan Tengku Zafrul.
Anwar berkata, PKR bersikap terbuka terhadap penyertaan mana-mana individu termasuk ke dalam parti itu asalkan individu berkenaan boleh memberi sumbangan kepada parti.
Bagaimanapun Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu tidak akan “menerima dan membenarkan” lompat parti bagi mana-mana anggota kerajaan campuran. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Zahid nasihatkan Tengku Zafrul usah terburu-buru tinggalkan UMNO