PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati kad pengenalan (MyKad) palsu dijual pada harga antara RM4,000 hingga RM5,000 kepada warga tempatan.
Ia susulan tangkapan suspek pertama pada 7 Mac lalu disyaki menggunakan MyKad klon membeli telefon pintar, sekaligus membawa kepada penahanan dalang yang menghasilkan dokumen palsu berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sepasukan anggota telah melakukan serbuan di lokasi pencetakan MyKad Klon di sebuah kediaman di Pandan Indah, Ampang, Selangor.
Susulan itu katanya, seorang lelaki berusia 31 tahun merupakan pemegang kad pengenalan bertaraf Pemastautin Sementara (MyKas) dan suami kepada seorang wanita tempatan ditahan.
“Hasil pemeriksaan di kediaman, JPN merampas set kelengkapan peralatan mencetak MyKad palsu, termasuk komputer riba, pencetak, mesin laminasi, cakera keras serta enam MyKad.
“Semakan juga mendapati, dua daripada MyKad itu milik individu lain dan empat lagi disahkan palsu malah lelaki itu dipercayai menjalankan kegiatan tersebut secara bersendirian.
“Namun pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan wujud rangkaian lebih besar dalam sindiket ini,” katanya dalam sidang media di pejabat JPN, di sini, hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek telah didakwa di Mahkamah Majistrest Kuala Lumpur pada 11 Mac di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki MyKad palsu serta kad pengenalan milik orang lain.
“Hakim menjatuhkan hukuman penjara empat bulan kepada suspek pertama, manakala suspek kedua dipenjara 10 bulan dan denda RM3,000. Namun, tertuduh gagal membayar denda menyebabkan tempoh penjara ditambah tiga bulan lagi, menjadikan jumlah hukuman 13 bulan penjara.
“Kes ini terbongkar selepas seorang individu mendapati MyKad miliknya diklon dan digunakan untuk membeli telefon pintar berharga lebih RM14,000, sebelum membuat laporan kepada pihak JPN,” ujarnya.
Tambah Saifuddin, JPN akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memalsukan dokumen pengenalan diri negara, dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan dalang lain dalam sindiket ini. – MalaysiaGazette