Imam Besar Musolla Ar-Raudah Pelindung Perdana, Mohd Azli Abdullah Al-Hafiz.

KUANTAN – Penghawa dingin buka 24 jam, bil elektrik pengurusan masjid bayar, janji jemaah selesa.

Itu kata Imam Besar Musolla Ar-Raudah Pelindung Perdana, Mohd Azli Abdullah Al-Hafiz.

Menurutnya, ia usaha berkenaan menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti dakwah melakukan ibadah kepada umat Islam di negeri ini sepanjang Ramadan.

Jelasnya, semua umat Islam dialu-alukan untuk menunaikan ibadat sempena bulan mulia ini termasuk iktikaf, berbuka, sahur dan moreh di musolla yang sudah beroperasi hampir setahun itu.

“Lebih menarik kami tidak membina pagar sebagai lambang ia sentiasa terbuka kepada semua seperti tanah haram di Mekah.

“Majlis berbuka puasa setiap hari di musolla termasuk moreh manakala iktikaf dan qiamulail bersama menu sahur akan disediakan pada 10 malam terakhir,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Malah musolla berkenaan turut dilengkapi kemudahan asas seperti tandas, bilik air, ruang wuduk selesa selain sudut bacaan dan perpustakaan mini.

Jelas Azli, pelbagai program ibadah dijalankan bagi mengimarahkan masjid berkenaan seperti tadabbur al-Quran, bacaan hadis, tazkirah Maghrib dan sebagainya di masjid yang terletak di Bukit Pelindung di sini.

Lebih menarik, katanya, aktiviti Solat Subuh dapat menarik lebih 60 kanak-kanak solat berjemaah dan memupuk mereka bangun awal pagi bagi menunaikan solat serta lengkap berpakaian seragam sekolah.

Sebagai menghargai usaha kanak-kanak yang solat Subuh  berjemaah, pihak masjid memberi wang saku RM5 kepada mereka sejak setahun lalu.

Musolla Ar-Raudhah merupakan sebuah pusat dakwah dan akademik yang sedang rancak membangun di kawasan kejiranan Pelindung, Beserah di Kuantan.

Bermula dengan naik taraf surau kepada masjid kini Musolla ArRaudhah dalam usaha membangunkan sekolah tahfiz yang dinamakan sebagai Mahaad Ar Raudhah.

Menurutnya, beberapa kios akan dibangunkan bagi menghidupkan ekonomi musolla berkenaan selain kedai jualan kopi, makanan Arab, ejen pelancongan dan sebangainya.

Orang ramai dipelawa untuk membuat sumbangan menerusi akaun Maybank Musolla Ar- Raudhah bernombor 5561 6924 2554 atau layari https://musollaarraudhah.com. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here