KUALA LUMPUR – Karnival BUSANA@Menara MARA anjuran MARA Incorporated Sdn. Bhd. (MARA Inc.), menawarkan lebih 60 tapak reruai jualan menerusi penganjuran karnival jualan sempena Ramadan dan menjelang Aidilfitri nanti.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MARA Inc., Faizul Idzhar berkata, penganjuran karnival selama hampir sebulan itu selaras dengan misi Mara untuk membantu lebih ramai golongan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurut beliau, karnival itu juga bertujuan untukmemperkasakan keusahawanan komuniti bagi mengukuhkan lantai ekonomi rakyat.
“Lebih 60 reruai jualan disediakan menerusi penganjuran karnival jualan yang telah bermula awal bulan ini.
“Penganjuran karnival ini bukan sahaja membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka, tetapi juga memberi ruang kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan raya dengan harga yang berpatutan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Faizul Idzhar memberitahu, Karnival BUSANA@Menara MARA yang bermula 2 Mac lalu akan berakhir pada 31 Mac ini.
“Karnival ini menampilkan pelbagai juadah hidangan berbuka puasa sepanjang Ramadan dan menawarkan pakaian Hari Raya, tudung, songkok, aksesori, biskut raya, beg tangan, kasut dan pelbagai lagi,” katanya.
BUSANA@Menara MARA adalah pusat beli-belah lima tingkat terletak di kawasan segi-tiga emas iaitu di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan sentiasa menjadi pusat beli-belah pilihan warga kota ketika Ramadan.
Bangunan beli belah BUSANA @ Menara MARA ini diurus dan dikendalikan sepenuhnya oleh MARA Inc iaitu sebuah anak syarikat milik penuh MARA Corporation.
MARA Inc juga berperanan mempromosikan produk-produk usahawan Bumiputera selaras dengan peranan strategiknya dalam sektor ekonomi. – MalaysiaGazette
















