Ikan Kanai atau Black Bass (Lutjanus goldiei) di Sungai Kuala, Pulau Pinang pada 30 Ogos lalu. Gambar ihsan- DOF

GEORGE TOWN – Penemuan seekor ikan kanai atau Black Bass (Lutjanus goldiei) di Sungai Kuala di sini, pada 30 Ogos lalu, mencatatkan penemuan jarang berlaku bagi spesies berkenaan di kawasan itu.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam kenyataan di Facebook memaklumkan spesimen berkenaan berjaya ditangkap oleh nelayan tempatan di kawasan Sungai Kuala, sekali gus menjadi tangkapan pertama spesies itu direkodkan di kawasan berkenaan dalam tempoh kira-kira 15 tahun berdasarkan maklumat komuniti nelayan setempat.

Menurut jabatan itu, ikan kanai yang turut dikenali sebagai Tembaring adalah spesies pemangsa estuari yang terkenal sebagai ikan sukan premium kerana kekuatan dan ketahanannya yang luar biasa.

“Spesies berkenaan lebih kerap ditemui di kawasan estuari Sabah dan Papua New Guinea, menjadikan kemunculannya di perairan Pulau Pinang sebagai pemerhatian menarik dari segi taburan geografinya.

“Ikan kanai lazimnya mendiami kawasan estuari dan pesisir sungai yang dipengaruhi pasang surut air, selain kawasan mempunyai tumbuh-tumbuhan bakau dan nipah yang berfungsi sebagai tempat perlindungan serta sumber makanan.

“Penemuan di Sungai Kuala menunjukkan kawasan tersebut mempunyai keadaan ekologi yang sesuai untuk spesies ini,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, DOF menegaskan ikan kanai (Lutjanus goldiei) adalah spesies tempatan dan berbeza daripada spesies Black Bass (Micropterus salmoides) yang dilaporkan diperkenalkan di kawasan lain.

Sehubungan itu, mengambil kira sifatnya yang jarang ditemui dan sensitif terhadap perubahan persekitaran, DOF menggalakkan amalan tangkap dan lepas bagi spesies berkenaan.

Langkah itu penting bagi tujuan pemuliharaan serta memastikan kemampanan populasi ikan Kanai di perairan Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here