GEORGE TOWN – Salah faham berkaitan kutipan hutang dipercayai menjadi punca dua kumpulan Geng 04 bergaduh di Ayer Itam di sini, pada 29 Ogos lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, kedua-dua kumpulan terbabit bergerak secara berasingan dan mempunyai kepentingan masing-masing walaupun menggunakan nama yang sama.
“Ini disebabkan salah faham berkaitan hutang. Bukan hutang ah long, sebaliknya mereka membantu untuk mengutip semula hutang.
“Mereka kemudian berbincang, namun tidak tahu bagaimana, akhirnya berlaku pergaduhan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Tambah Dennis Lim, dua lelaki yang ditetak dalam insiden berasingan itu bukan anggota Geng 04, sebaliknya menjadi mangsa salah identiti.
“Mereka kebetulan memakai baju yang lebih kurang sama warnanya dan suspek menyangka mereka daripada kumpulan itu lalu menyerang serta menetak mereka.
“Mereka dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Hungry Ghost Festival.
“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah namun berada dalam keadaan stabil,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Media pada 30 Ogos lalu melaporkan seramai 13 lelaki tempatan termasuk tiga individu bawah umur ditahan polis bagi membantu siasatan kes pergaduhan menggunakan senjata di hadapan SJK(C) Kong Min Cawangan Kedua Ayer Itam di sini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 2.45 pagi pada 29 Ogos yang membabitkan dua lelaki tempatan berusia 17 dan 25 tahun.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian hutang susulan pertemuan beberapa individu di sebuah medan selera di Kota Bali, Paya Terubong.
“Selain itu siasatan juga mendapati sebuah kereta yang dipercayai melanggar seorang mangsa ketika pergaduhan sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















